Perdana Logo

TERMA DAN SYARAT KEAHLIAN PERDANA
PERDANA MEMBERSHIP TERMS AND CONDITIONS

Dengan menggunakan PERDANA Perbankan Istimewa ("PPB") Bank Islam Brunei Darussalam, awda bersetuju untuk terikat dengan Terma dan Syarat berikut termasuk sebarang pindaan/variasi kepada Terma oleh Bank Islam Brunei Darussalam ("BIBD") dari semasa ke semasa. Terma ini akan mengikat ahli bersama awda dalam menggunakan keistimewaan keahlian PPB.

1.0
Definisi
1.1
Dalam Terma ini, definisi yang berikut hendaklah ditafsirkan seperti berikut:
"Akaun" bermakna akaun yang awda buka sama ada secara bersendirian atau bersama dengan pemegang akaun lain dan kekal dengan Bank;
"Bank" bermakna Bank Islam Brunei Darussalam, anak syarikatnya, penggantinya dan pemegang yang dibenarkan;
"Hutang" bermakna jumlah keseluruhan yang dimiliki dan perlu dibayar kepada Bank termasuk tetapi tidak terhad kepada semua transaksi, yuran, caj dan perbelanjaan (termasuk kos guaman) sama ada sebenar atau kontinjen pada masa yang ditentukan;
"Ahli Bersama" bermakna orang yang layak untuk awda calonkan menggunakan faedah dan keistimewaan PPB;
"Terma" bermakna Terma-Terma dan Syarat-Syarat yang dinyatakan di sini yang mengawal perjanjian antara awda dan Bank berhubung dengan penggunaan hak-hak istimewa yang disediakan kepada awda dan yang boleh dipinda/diubah oleh Bank mengikut budi bicara mutlaknya dari semasa ke semasa.
2.0
Keahlian
2.1
Untuk layak menjadi ahli PPB, awda mesti memenuhi kriteria kelayakan keahlian PPB Bank ("kriteria kelayakan") pada setiap masa. Bank berhak sepenuhnya untuk mengubah, menyemak semula dan/atau meminda mana-mana kriteria kelayakan pada bila-bila masa yang difikirkan patut.
2.2
Awda boleh mengetahui kriteria kelayakan semasa dengan menghubungi mana-mana Pengurus Perhubungan PPB atau menghubungi Pusat Perhubungan PPB di +673 223 6688.
2.3
Atas permintaan awda, mana-mana orang yang mempunyai akaun bersama awda dengan Bank boleh dijadikan ahli bersama. Awda mengakui bahawa awda dianggap sebagai ahli utama dan semua komunikasi akan dibuat dengan awda dalam kapasiti awda sebagai ahli utama.
2.4
Awda mengakui bahawa ahli bersama adalah berhak untuk menggunakan keistimewaan PPB yang terpilih.
2.5
Jika awda sebagai ahli utama, tidak lagi memenuhi kriteria kelayakan tetapi masih berhajat untuk menggunakan keistimewaan PPB, awda dan ahli bersama awda boleh meneruskan untuk menggunakan perkara yang sama tertakluk kepada awda membuat pembayaran Yuran Perkhidmatan bulanan yang ditetapkan untuk meneruskan pengunaan keistimewaan PPB. Awda memberi kuasa kepada Bank untuk membuat potongan secara langsung Yuran Perkhidmatan bulanan tersebut daripada Akaun awda tanpa memberikan notis lanjut kepada awda.
2.6
Jika awda tidak lagi berhasrat untuk menggunakan keistimewaan dan keahlian PPB dan bercadang untuk tidak membuat Yuran Perkhidmatan bulanan yang ditetapkan, awda mengakui bahawa awda dan ahli bersama awda hendaklah akibat daripadanya terhenti menjadi ahli PPB.
3.0
Akaun
2.1
Awda memberi kuasa kepada Bank untuk mencantumkan/menggabungkan/menyatukan mana-mana/semua akaun awda dengan Bank bagi Bank mendapatkan semula hutang yang mana awda adalah bertanggungan kepada Bank.
3.2
Awda seterusnya memberi kuasa kepada Bank untuk membekukan, menolak atau memindahkan apa-apa amaun antara akaun awda yang ada atas nama individu atau bersama dengan orang lain untuk tujuan menyelesaikan mana-mana kewajiban yang belum awda jelaskan kepada Bank atau kemudahan di mana awda telah meletakkan jaminan peribadi tanpa notis terlebih dahulu kepada awda.
4.0
Arahan
4.1
Awda memberi kuasa kepada Bank untuk bertindak di atas arahan awda atau mana-mana orang yang awda beri kuasa termasuk sebarang arahan yang mana Bank percaya telah diberikan oleh awda atau orang yang dibenarkan.
4.2
Mana-mana/Semua arahan mesti diberikan secara bertulis. Bank boleh, walaubagaimanapun, menerima arahan yang diserahkan kepada Bank melalui telefon, faks atau melalui sebarang media elektronik yang boleh diterima oleh Bank tertakluk kepada pelaksanaan selanjutnya dan penyerahan dokumen sokongan sebagaimana yang dikehendaki oleh Bank.
4.3
Awda hendaklah menanggung rugi sepenuhnya dan memastikan Bank adalah bebas daripada semua tuntutan, liabiliti, tindakan, prosiding yang berkaitan dengannya dalam menjalankan arahan awda di mana Bank telah bertindak atas arahan sedemikian dengan niat yang baik.
4.4
Bank tidak berkewajiban untuk mengesahkan kesahihan arahan yang diterima daripada awda dan berhak untuk tidak bertindak atas arahan tertentu tanpa memberikan apa-apa sebab.
4.5
Awda bertanggungjawab sepenuhnya untuk memastikan ketepatan dan lengkapnya mana-mana/semua arahan yang diberikan kepada Bank.
4.6
Awda perlu memastikan akaun awda mempunyai dana yang mencukupi pada setiap masa untuk memastikan Bank boleh membuat sebarang transaksi yang awda arahkan.
4.7
Awda mengakui bahawa semua arahan yang awda berikan adalah tidak boleh ditarik balik dan akan mengikat awda.
4.8
Awda mengakui dan bersetuju seperti berikut:
(i) Bank tidak berkewajiban untuk bertindak atas apa Bank percaya arahan sedemikian adalah tidak lengkap atau tidak jelas. Dalam keadaan di mana Bank secara munasabah mempercayai maklumat tersebut boleh dibetulkan tanpa merujuk kepada awda atau orang yang diberi kuasa oleh awda, maka Bank boleh bertindak untuk melaksanakannya. Jika sebaliknya, Bank boleh enggan untuk bertindak atas alasan ianya adalah arahan yang tidak lengkap atau tidak jelas;
(ii) Bank boleh menolak untuk menerima mana-mana arahan yang bercanggah. Bank boleh menetapkan turutan tindakan terhadap arahan yang pelbagai;
(iii) Bank boleh mengenakan apa-apa syarat keperluan sebelum Bank menerima mana-mana arahan;
(iv) Bank adalah bebas untuk mengesahkan mana-mana arahan yang diterima dengan menghubungi awda sebelum melaksanakan arahan tersebut;
(v) Bank boleh menolak untuk bertindak atas arahan awda jika tindakan sedemikian boleh menimbulkan apa-apa kemungkiran dalam polisi dalaman Bank atau mana-mana undang-undang atau peraturan-peraturan yang semasa atau apa-apa alasan yang Bank anggap berpatutan.
4.9
Awda mengakui dan menerima risiko dalam memberi arahan melalui telefon, faks, atau melalui mana-mana cara elektronik dan bersetuju untuk menanggung rugi Bank daripada mana-mana isu yang timbul daripadanya termasuk apa-apa virus atau kelewatan dalam menerima arahan tersebut.
4.10
Bank adalah berhak untuk merakam dan memantau semua arahan telefon dan perbualan dengan awda. Semua rakaman tersebut hendaklah menjadi hak milik Bank dan hendaklah menjadi bukti kukuh terhadap arahan yang diberikan.
5.0
Faedah Perkhidmatan atau Keistimewaan PPB
5.1
Faedah, perkhidmatan dan keistimewaan PPB hendaklah tertakluk kepada terma dan syarat-syarat yang terpakai terhadap perkhidmatan berkenaan.
5.2
Dari semasa ke semasa, Bank boleh memperkenalkan awda kepada perkhidmatan/keistimewaan yang disediakan oleh pihak ketiga. Awda mengakui perkhidmatan/keistimewaan demikian adalah tertakluk kepada terma dan syarat pihak ketiga dan pihak Bank tidak akan terlibat dalam mana-mana pertikaian/perkara yang berkaitan dengan perkhidmatan/keistimewaan tersebut dan menolak mana-mana tanggungan dalam peruntukkan perkhidmatan/keistimewaan tersebut.
5.3
Awda boleh membuat pertanyaan mengenai faedah, perkhidmatan dan keistimewaan semasa yang disediakan untuk awda dan yuran dan caj yang dikenakan dengan menghubungi pengurus perhubungan PPB, mana-mana kakitangan PPB atau Pusat Perhubungan PPB atau mendapatkan maklumat dari laman web Bank di www.bibd.com.bn.
5.4
Bank berhak untuk mengubah, menggantung, menarik balik atau menamatkan sebarang atau semua faedah, perkhidmatan atau keistimewaan PPB pada bila-bila masa tanpa memberikan sebarang alasan.
6.0
Perubahan Butir-Butir
6.1
Awda hendaklah dengan segera memaklumkan Bank secara bertulis mengenai apa-apa perubahan maklumat awda terutama sekali alamat persuratan atau pekerjaan semasa awda.
6.2
Kegagalan awda memaklumkan kepada Bank jika terdapat mana-mana perubahan butir-butir awda akan membebaskan Bank dari sebarang tanggungan kerana awda tidak menerima sebarang persuratan/notis dihantar ke alamat terakhir yang didaftarkan dengan Bank.
7.0
Notis dan Persuratan
7.1
Semua notis dan komunikasi hendaklah dihantar ke alamat awda yang terakhir yang didaftarkan dengan Bank. Bank tidak akan dipertanggungjawabkan atas ketidak terimaan sebarang komunikasi kerana kegagalan awda dalam memaklumkan Bank mengenai sebarang perubahan alamat awda.
7.2
Kecuali sebaliknya diperuntukkan di dalam perjanjian perbankan, notis dan komunikasi Bank kepada awda dikira berkuatkuasa:
(i) Jika dihantar melalui faks, pada masa yang ditunjukkan di dalam laporan penghantaran sebagai telah berjaya dihantar;
(ii) Jika diserahkan secara peribadi, pada masa penyerahan;
(iii) Jika dihantar melalui pos dalam Negara Brunei Darusalam, tiga (3) hari selepas tarikh penghantaran;
(iv) Jika dihantar melalui e-mel, empat (4) jam selepas menghantarnya kecuali Bank menerima makluman kegagalan penerimaan penyerahan;
(v) Jika penyerahan melalui kotak masuk perbankan online, 24 jam selepas Bank menghantarnya; dan
(vi) Jika diterbitkan dalam akhbar harian, ditampal di mana-mana cawangan Bank, mesin ATM atau di laman web, pada masa penerbitan atau penampalan.
7.3
Semua komunikasi dari awda mesti dibuat dan diterima oleh Bank dalam bentuk yang jelas dan berkesan.
8.0
Penamatan
8.1
Awda boleh menamatkan keahlian PPB awda dengan memberi Bank notis bertulis satu (1) bulan lebih awal mengenai niat itu.
8.2
Awda bersetuju bahawa Bank adalah bebas untuk menamatkan keahlian PPB awda dengan serta merta apabila berlakunya salah satu perkara berikut:
(i) Jika awda ingkar dalam mana-mana kewajiban pembiayaan yang sedia ada dengan Bank atau,
(ii) Apabila didapati mana-mana tindakan prosiding sivil/jenayah/kebankrapan diambil ke atas awda (tidak kira peringkat/status prosiding) atau
(iii) Selepas kematian awda.
Setelah penamatan keahlian PPB awda oleh Bank, awda tidak lagi boleh menikmati sebarang faedah atau keistimewaan PPB.
8.3
Tanpa menghiraukan keadaan yang dinyatakan dalam klausa 8.2 di atas, Bank berhak untuk membatalkan/menarik balik faedah, perkhidmatan dan keistimewaan PPB awda atas sebab-sebab selain daripada yang tersebut atas alasan yang difikirkan patut oleh Bank.
9.0
Tanggung Rugi
9.1
Awda akan menanggung rugi Bank sepenuhnya terhadap semua kos dan perbelanjaan termasuk yuran guaman secara indemniti penuh yang ditanggung oleh Bank dalam menguatkuasakan Terma ini dan mendapatkan semula mana-mana jumlah yang terhutang kepada Bank atau ditanggung oleh Bank dalam sebarang prosiding undangundang yang diambil terhadap awda.
9.2
Awda bersetuju untuk menanggung rugi Bank bagi apa-apa kerugian yang ditanggung oleh Bank berkaitan dengan:
(i) Sebarang akaun, penubuhan dan penyediaan mana-mana produk dan transaksi lain yang dimaksudkan oleh perjanjian perbankan;
(ii) Pemeriksaan dan pertanyaan yang dibuat berkaitan dengan awda atau keselamatan yang disediakan;
(iii) Arahan daripada awda atau yang diberi oleh orang yang diberi kuasa kepada Bank;
(iv) Sebarang perkhidmatan yang disediakan oleh pihak ketiga misalnya perkhidmatan yang diaturkan oleh persatuan kad;
(v) Bank bertindak atau enggan bertindak atas arahan daripada awda atau orang yang diberi kuasa atau mengambil tindakan terhadap awda atau orang yang diberi kuasa; dan
(vi) Keingkaran atau hutang di pihak awda.
9.3
Awda hendaklah menandatangani apa-apa dokumen yang Bank secara munasabah mengkehendaki untuk mengukuhkan klausa ini termasuk berkaitan dengan arahan yang dihantar melalui peralatan elektronik atau kehilangan buku-buku simpanan, buku cek atau kod keselamatan.
10.0
Pendedahan Maklumat
10.1
Awda membenarkan Bank untuk mendedahkan sebarang maklumat yang berkaitan dengan Akaun awda kepada mana-mana anak syarikat Bank atas dasar perlu tahu atau untuk tujuan-tujuan yang dianggap perlu oleh Bank.
10.2
Awda seterusnya mengakui di bawah Criminal Asset Recovery (CARO) 2012, Bank diwajibkan untuk melaporkan transaksi tertentu kepada pihak berkuasa. Oleh itu, awda memberi kuasa kepada Bank untuk memberikan pihak berkuasa dengan maklumat yang diperlukan tanpa sebarang notis kepada awda.
11.0
Simpanan Rekod
11.1
Awda mengakui bahawa Bank secara undang-undang tidak diwajibkan untuk menyimpan sebarang dokumen/rekod perbankan lebih daripada tujuh (7) tahun dari tarikh transaksi yang terakhir selesai.
12.0
Penepian
12.1
Tiada penepian oleh Bank dalam menguatkuasakan mana-mana Terma ini boleh menjejaskan hak Bank selepas itu untuk menguatkuasakan yang berkenaan.
13.0
Semak Semula
13.1
Bank boleh, mengikut budi bicara mutlaknya, menyemak semula mana-mana produk atau perkhidmatan dan terma-terma dan syarat-syarat yang mengawal penggunaan produk atau perkhidmatan pada bila-bila masa termasuk tetapi tidak terhad kepada tindakan yang berikut:
(i) Mengubah sebarang had yang sedia ada atau kadar yang berkaitan dengan produk;
(ii) Memerlukan jaminan tambahan; atau
(iii) Mengubah terma mana-mana perjanjian perbankannya.
13.2
Awda akan dimaklumkan sebarang perubahan/variasi melalui cara komunikasi yang dianggap boleh dilaksanakan oleh Bank dan sebarang perubahan/variasi hendaklah berkuatkuasa pada tarikh yang ditentukan sepenuhnya oleh Bank.
14.0
Undang-Undang Yang Mengawal
14.1
Terma ini hendaklah dikawal oleh dan ditafsirkan mengikut Undang-Undang Negara Brunei Darussalam dan awda bersetuju untuk menyerah kepada bidang kuasa eksklusif Mahkamah-Mahkamah Negara Brunei Darussalam.